Jumaat, 28 Disember 2012

Alkisah bapak dengan anak… RENUNGKAN BERSAMA :D

Krdt by: Dato' Tuan Ibrahim bin Tuan Man

Alkisah bapak dengan anak…

Seorang bapa dan anak mengembara membawa seekor keldai untuk dijual…

Di Pekan pertama, bapa berjalan tapi anak menunggang keldai kerana keletihan, tapi penduduk mencemuh anak tidak bertimbang rasa kepada orang tua.

Di Pekan kedua, anak berjalan tapi bapa menunggang keldai, penduduk berkata bapa tidak berhati perut membiarkan anak kecil berjalan jauh, sepatutnya dua-dua naik keldai.

Di Pekan ketiga, anak dan bapa menaiki keldai, tapi keldai pengsan kehausan… penduduk mencemuh kata mereka kejam terhadap keldai dan menyuruh mereka membawa keldai ke klinik haiwan untuk dirawat.

Dalam perjalanan ke Pekan keempat, anak dan bapa terserempak sekumpulan serigala, keldai dalam kecemasan terjatuh ke dalam sungai… anak dan bapak kehilangan keldai, balik rumah dicemuh isteri mengapa tak jual keldai di Pekan pertama.

Ramai yang suka memberikan komen sehingga kita lupa tujuan sebenar sesuatu isu. Dalam apa-apa situasi, ada yang sokong, ada yang tidak sokong, tapi apa yang penting sendiri harus menyokong dan yakin dengan keputusan sendiri dan berani menerima teguran sekiranya teguran berasas.

Jangan sesekali menjadi anak-bapak di atas, yang terlalu asyik mempedulikan komen yang remeh sehingga terlupa tujuan mereka menggembara adalah untuk menjual keldai tersebut.




Rabu, 26 Disember 2012

...DALAM KENANGAN...


krdt by : Akhi Ahmad Kamil


Saya baru dapat berita mengenai pemergian Almarhum Ustaz Rosni, salah seorang pegawai yang sangat rapat dengan pelajar di Mesir.

Saya terkejut, dan hiba. Ajalnya sudah tiba. Almarhum adalah antara individu yang sangat memberi impak positif kepada saya sepanjang keberadaan di Mesir dua tiga tahun lepas.

Saya rasa saya perlu berkongsi disini...

Saya pernah diuji dengan masalah kewangan di Mesir. Maklumlah, saya bukan pelajar Al-Azhar, jadi tiada zakat atau bantuan khas untuk saya. Masa tu saya ambil keputusan untuk berjumpa dengan Ustaz Rosni, atas cadangan beberapa orang kenalan. Tujuan saya adalah untuk meminta nasihat.

Saya bercadang pada ketika itu, untuk memulakan perniagaan burger di Mansurah. Modal? Tiada. Semangat? Berkobar-kobar.

Ustaz Rosni menyambut saya dengan wajah penuh ceria. Kami berkongsi pandangan. Banyak pengalaman yang beliau kongsikan.

Apa yang paling membuatkan hati saya berasa sangat sayu, adalah apabila beliau terpaksa memberitahu saya yang beliau sendiri sedang diuji oleh Allah dengan kewangan yang terhad. Ditunjukkan bekas makanannya, yang hanya ada nasi dan telur goreng. Itulah makanan hariannya di pejabat. Tiada lauk lain. Dengan penuh senyuman, beliau memberi kata2 semangat yang sangat positif.

Setelah selesai berurusan, saya minta izin untuk kembali ke Mansurah dengan hati yang sangat gembira. Gembira kerana dipertemukan dengan insan semulia Ustaz Rosni. Sehingga saya pernah terfikir bahawa beliau adalah kekasih Allah yang Allah temukan dengan insan sekerdil saya.

Selang beberapa langkah, beliau memanggil saya dan mengeluarkan 50 junaih (matawang Mesir) yang nilainya lebih kurang RM25 duit kita. Saya menolak. Tidak sampai hati membebankan beliau. Namun beliau sangat berharap saya mengambilnya dan jadikan modal berniaga. Saya amat menghargai pemberian beliau.

Dengan 50 junaih itu, saya memulakan perniagaan. Sehinggalah akhirnya berkembang dan akhirnya saya tukar kepada bisnes Nasi Lemak Akhi di Mansurah dengan hasil yang lumayan, alhamdulillah. BERKAT 50 JUNAIH sumbangan Ustaz Rosni...

Sehingga saat saya menulis status ini, masih terbayang senyuman yang tak lekang. Ya, saya sebak. Siapa yang mengenalinya,insyaAllah akan terasa sangat kehilangan...

Semoga Allah mencucuri rahmatNya ke atas roh Almarhum Ustaz Rosni... ALFATIHAH....