Jumaat, 28 Disember 2012

Alkisah bapak dengan anak… RENUNGKAN BERSAMA :D

Krdt by: Dato' Tuan Ibrahim bin Tuan Man

Alkisah bapak dengan anak…

Seorang bapa dan anak mengembara membawa seekor keldai untuk dijual…

Di Pekan pertama, bapa berjalan tapi anak menunggang keldai kerana keletihan, tapi penduduk mencemuh anak tidak bertimbang rasa kepada orang tua.

Di Pekan kedua, anak berjalan tapi bapa menunggang keldai, penduduk berkata bapa tidak berhati perut membiarkan anak kecil berjalan jauh, sepatutnya dua-dua naik keldai.

Di Pekan ketiga, anak dan bapa menaiki keldai, tapi keldai pengsan kehausan… penduduk mencemuh kata mereka kejam terhadap keldai dan menyuruh mereka membawa keldai ke klinik haiwan untuk dirawat.

Dalam perjalanan ke Pekan keempat, anak dan bapa terserempak sekumpulan serigala, keldai dalam kecemasan terjatuh ke dalam sungai… anak dan bapak kehilangan keldai, balik rumah dicemuh isteri mengapa tak jual keldai di Pekan pertama.

Ramai yang suka memberikan komen sehingga kita lupa tujuan sebenar sesuatu isu. Dalam apa-apa situasi, ada yang sokong, ada yang tidak sokong, tapi apa yang penting sendiri harus menyokong dan yakin dengan keputusan sendiri dan berani menerima teguran sekiranya teguran berasas.

Jangan sesekali menjadi anak-bapak di atas, yang terlalu asyik mempedulikan komen yang remeh sehingga terlupa tujuan mereka menggembara adalah untuk menjual keldai tersebut.




Rabu, 26 Disember 2012

...DALAM KENANGAN...


krdt by : Akhi Ahmad Kamil


Saya baru dapat berita mengenai pemergian Almarhum Ustaz Rosni, salah seorang pegawai yang sangat rapat dengan pelajar di Mesir.

Saya terkejut, dan hiba. Ajalnya sudah tiba. Almarhum adalah antara individu yang sangat memberi impak positif kepada saya sepanjang keberadaan di Mesir dua tiga tahun lepas.

Saya rasa saya perlu berkongsi disini...

Saya pernah diuji dengan masalah kewangan di Mesir. Maklumlah, saya bukan pelajar Al-Azhar, jadi tiada zakat atau bantuan khas untuk saya. Masa tu saya ambil keputusan untuk berjumpa dengan Ustaz Rosni, atas cadangan beberapa orang kenalan. Tujuan saya adalah untuk meminta nasihat.

Saya bercadang pada ketika itu, untuk memulakan perniagaan burger di Mansurah. Modal? Tiada. Semangat? Berkobar-kobar.

Ustaz Rosni menyambut saya dengan wajah penuh ceria. Kami berkongsi pandangan. Banyak pengalaman yang beliau kongsikan.

Apa yang paling membuatkan hati saya berasa sangat sayu, adalah apabila beliau terpaksa memberitahu saya yang beliau sendiri sedang diuji oleh Allah dengan kewangan yang terhad. Ditunjukkan bekas makanannya, yang hanya ada nasi dan telur goreng. Itulah makanan hariannya di pejabat. Tiada lauk lain. Dengan penuh senyuman, beliau memberi kata2 semangat yang sangat positif.

Setelah selesai berurusan, saya minta izin untuk kembali ke Mansurah dengan hati yang sangat gembira. Gembira kerana dipertemukan dengan insan semulia Ustaz Rosni. Sehingga saya pernah terfikir bahawa beliau adalah kekasih Allah yang Allah temukan dengan insan sekerdil saya.

Selang beberapa langkah, beliau memanggil saya dan mengeluarkan 50 junaih (matawang Mesir) yang nilainya lebih kurang RM25 duit kita. Saya menolak. Tidak sampai hati membebankan beliau. Namun beliau sangat berharap saya mengambilnya dan jadikan modal berniaga. Saya amat menghargai pemberian beliau.

Dengan 50 junaih itu, saya memulakan perniagaan. Sehinggalah akhirnya berkembang dan akhirnya saya tukar kepada bisnes Nasi Lemak Akhi di Mansurah dengan hasil yang lumayan, alhamdulillah. BERKAT 50 JUNAIH sumbangan Ustaz Rosni...

Sehingga saat saya menulis status ini, masih terbayang senyuman yang tak lekang. Ya, saya sebak. Siapa yang mengenalinya,insyaAllah akan terasa sangat kehilangan...

Semoga Allah mencucuri rahmatNya ke atas roh Almarhum Ustaz Rosni... ALFATIHAH....

Ahad, 2 September 2012

KEBENARAN AKAN MENANG...

BISMILLAH..

 Ya Tuhanku..

           Permudahkanlah segala urusan dan berikan kemenangan kpd PMRAM, BKPJM dan semua PMRAM CAWANGAN dalam menghadapi pelbagai tribulasi yang sememangnya dirancang oleh pihak yang tidak berwajib..AMIN.

           Dibawah ini antara salah satu kezaliman yang berlaku kpd PMRAM cawangan JOHOR (BKPJM), dinafikan hak oleh pegawai sendiri yang SEPATUTNYA membantu KEBAJIKAN ahli johor..


BKPJM MENGGESA HEP MEMBUKA PINTU DEWAN APJ RABA'AH



Assalamualaikum WBT.

Alhamdulillahi rabbil alamin, wassolatu wassalamu ala Sayyidina Muhammad, wa ala alihi wasahbihi ajmain. Amma ba’d.

Pada 28 Ogos 2012, pintu Dewan APJ Rabaah telah dikunci oleh pihak HEP. YDP BKPJM sendiri menerima panggilan daripada pembantu Pegawai HEP Johor Mesir, Saudara Firdaus Bin Omar memaklumkan perkara tersebut dengan alasan BKPJM mengadakan program tanpa kebenaran.

Semua telah sedia maklum, Asrama Pelajar Johor Rabaah ialah harta wakaf hasil kutipan Saham Wakaf Majlis Agama Islam Johor(MAIJ). Kutipan dibuat oleh MAIJ manakala urusan pencarian dan pembelian bangunan dijalankan oleh BKPJM dengan kerjasama Kedutaan Besar Malaysia Kaherah. 

Disebutkan dalam Web Rasmi e-Wakaf MAIJ bahawa “Bangunan asrama ini  lengkap dengan pelbagai kemudahan antaranya ruang belajar dan muzakarah”, tetapi ruang belajar dan bermuzakarah di Dewan APJ Rabaah telah dikunci oleh HEP, menyukarkan pelajar untuk mengadakan kelas tafaqquh. 



BKPJM secara tegas menyatakan pendirian tidak bersetuju dengan tindakan pihak HEP mengunci Dewan APJ Rabaah seterusnya menghalang anak-anak Johor, khususnya penghuni APJ Rabaah untuk solat dan mengimarahkan harta wakaf tersebut. Tiada lagi azan berkumandang di APJ Rabaah, tiada lagi alunan ayat suci Al-Quran dialunkan dan tiada lagi kemeriahan dewan itu dengan Kelas Tafaquh yang dianjurkan BKPJM, ini semua gara-gara tindakan HEP mengunci Pintu Dewan APJ Rabaah.

Dalam menghadapi perkara ini, YDP BKPJM merancang untuk berjumpa dengan pihak Pegawai HEP Johor Mesir, Haji Muhammad Husni Tamrin Bin Md Sharif, untuk meminta beliau membuka semula pintu dewan tersebut. BKPJM mengharapkan kerjasama sebaiknya dari pihak HEP dan bukannya dolak-dalih atau mengelak dari mengadakan perbincangan.

Sekian, terima kasih.

Wassalamualaikum wbt.

Muhammad Yazid Bin Hanzir
Yang DiPertua,
Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir
2011/2012.